Tuan Yang Dipertua
Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan isu yang kini sedang melanda Semenanjung Gaza.
Saya mengambil pendirian bahawa bukan sahaja Israel patut mengadakan gencatan senjata malah kumpulan Hamas juga sepatutnya sama-sama mengadakan perkara yang sama bagi memastikan peperangan dan pengeboman tidak berterusan berlaku.
Akhirnya, seperti kata pepatah, gajah dan gajah berkelahi, pelanduk di tengah-tengah mati tersepit.
Saya di sini menyeru agar wakil Negara yang dihantar ke persidangan tergempar PBB menuntut supaya Israel, Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin segera mengadakan gencatan senjata supaya rakyat Gaza dapat diberikan bekalan ubat-ubatan dan terutamanya air minuman.
Sebagai anggota kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, saya menyeru agar Malaysia mengenengahkan Universal Periodic Review (UPR), dengan izin yang dibuat pada awal Disember lalu.
Wakil kita di jawatankuasa itu juga perlu membangkitkan kegagalan wakil Israel, Richard Falk yang gagal untuk bekerjasama dalam mandat negaranya untuk melihat perkembangan dalam hal kemanusiaan mengenai pencabulan hak asasi yang serius dan melindungi rakyat Palestin.
PBB melalui Majlis Keselamatannya juga mestilah berpegang dengan kenyataan mereka untuk mengambil langkah-langkah konkrit mengenai hal ini.
Saya memetik kenyataan Presiden General Assembly PBB dengan izin “the time has come to take firm action if the UN does not want to be rightly accused of complicity by omission”.
Tuan Yang Dipertua,
Menurut Resolusi 377 General Assembly PBB perihal dengan izin “Uniting for Peace,” berkenaan dengan keadaan rakyat Palestin, Israel wajib menghormati intervensi Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Saya percaya, dengan mematuhi resolusi berkenaan, jumlah kematian di Gaza dapat dikurangkan.
Tuan Yang Dipertua,
Saya ingin kembali mengenai penyaluran bekalan makanan dan perubatan kepada mangsa pengeboman. Saya di sini mendesak supaya kerajaan Israel dan Mesir bersama-sama membuka kembali persempadanan mereka agar bekalan-bekalan tersebut dapat disalurkan kepada rakyat yang teraniaya.
Ada mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan teruk tidak dapat diselamatkan kerana gagal mendapat layanan sewajarnya, Israel, buat masa ini hanya membenarkan beberapa pesakit yang mengalami kecederaan teruk untuk memasuki sempadan Israel sejak Israel memulakan operasi ketenteraan mereka.
Mesir pula menyekat mangsa-mangsa untuk memasuki sepadan negaranya melalui Rafah; itpun setelah mendapat tekanan daripada kerajaan Turki dan Qatar. Pada 30 dan 31 Disember 2008, mesir dilaporkan hanya membenarkan 154 orang yang mengalami kecederaan melalui Rafah.
Tindakan Israel dan Mesir yang terus menghalang ini bukan hanya melanggar dari sudut undang-undang tetapi juga tidak berperiemanusiaan.
Sekatan kerajaan Israel terhadap sumber tenaga minyak dan disel juga membei kesan yang amat sukar kepada rakyat di Gaza. Hospital, stesen pengepan air, kemudahan pusat kumbahan semuanya tersangkut untuk berfungsi dengan baik. Ini menjadikan keadaan lebih sukar kepada rakyat.
Saya juga mengecam tindakan Israel pada 6 Januari lalu di sekolah al-Fakhora yang dijadikan penempatan sementara kem pelarian Jabaliya, sekolah yang mana tempat itu juga menempatkan mereka yang dianiaya Israel dan Hamas.
Serangan yang telah mengakibatkan kematian di antara 30 hingga 40 orang itu juga sukar bagi badan hak asasi antarabangsa untuk menjalankan siasatan punca dan keadaan pusat pelarian tersebut.
Bagi mengakhiri ucapan saya, saya dengan ini menegaskan bahawa ahli jawatankuasa yang dilantik bagi wakil kita di PBB untuk lebih proaktif dalam menyatakan pendirian kita.
Sekian, terima kasih.
Nota: Ucapan tersebut tidak sempat dibahaskan atas alasan kesuntukan masa.