Tuan Yang Dipertua,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dalam usaha memastikan keadilan di Negara ini dikecapi oleh setiap lapisan rakyat.

Sepanjang pengalaman kita dalam memperlihatkan perjalanan pendakwaan, banyak pihak enggan untuk bekerjasama dalam melaporkan jenayah kelas pertama kerana merasakan diri mereka terancam.

Saya ingin memberikan contoh yang jelas berlaku pada sdr Ezam Mohd Nor pada penghujung 90an yag akhirnya disumbat ke dalam penjara selama dua tahun manakala saksi penting tidak dipanggil memberi keterangan mereka. Pihak kerajaan sering menggunakan akta drakonian seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dalam menghalang seseorang daripada melakukan pendedahan.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara bersetuju bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan rasuah yang dibuat oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Tamby Chik. Sungguhpun BPR dan Jabatan Peguam Negara mengesyorkan supaya Rafidah Aziz dan Rahim dituduh di mahkamah, maka perkara ini tidak berlaku, Malah, Ezam yang didakwa.

Ezam ditangkap kerana mengedarkan laporan BPR bertajuk ‘Laporan Siasatan BPR ke atas Datuk Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Tamby Chik’. Maklumat khusus berjuta-juta saham yang diperuntukkan dan pemilikan harta peribadi bernilai jutaan ringgit juga disenaraikan dengan terperinci. Bagaimana pun, ianya tidak membawa apa-apa makna kerana keputusan akhir terletak di tangan perdana Menteri.

Disebabkan Ezam pada waktu itu memberi seluruh kerjasama kepada pihak polis berjam-jam untuk disoalsiasat, pihak polis tidak pernah mengambil keterangan daripada individu yang disabitkan di dalam laporan polis Ezam itu kerana mereka adalah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri serta kerabat dan kroni mereka.

Adakah ini jenis perlindungan saksi yang didefiniskan oleh Kerajaan Persekutuan? Bagaimana individu-individu tersebut bukan sahaja bebas tetapi bebas menjadi menteri pada waktu itu?

Bagaimana saksi dapat dilindungi sekiranya kita mempunyai akta seperti OSA? Contoh yang saya nyatakan seperti Rafidah dan Rahim dapat dilindungi di sebalik perkataan ‘rahsia besar’,’ rahsia’, ‘sulit’ dan ‘terhad’.

Tuan Yang Dipertua,

Di Parlimen Britain, sebuah akta diberi nama, dengan izin “Public Interest Disclosure Act” digubal dengan semangat untuk menggalakkan rakyat mendedahkan penyelewengan dan mempastikan pihak berkuasa bertindak ke atas isu yang dibawa bukan si pembawa isu.

Akta seperti ini tidak digubal di Parlimen Malaysia kerana tidak ada keazaman politik untuk mempertahankan kebenaran atas prinsip keadilan dan pertanggungjawaban.

Sekiranya saya boleh merujuk kepada peranggan 4 (1), Menteri boleh melantik Ketua Pengarah dan Timbalan ketuah pengarah Perlindungan Saksi.

Namun, apakah kredibiliti Ketua Pengarah ini sekiranya Menteri yang dilantik itu mempunyai sifat seperti Rafidah Aziz atau pun Rahim Tamby Chik?

Saya harap perkara ini dapat diperincikan dan pastikan keadilan dapat dilaksanakan dengan sejujurnya.

Sekian, terima kasih.

Gwo-Burne Loh
*ucapan ini tidak sempat dibentangkan di Dewan Rakyat



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: