Tuan Gwo-Burne Loh [ Kelana Jaya ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan untuk mengambil pendirian tegas bagi terus mengharamkan penggunaan parakuat (racun serangga atau racun rumpai) di ladang-ladang terutama sekali di ladang kelapa sawit kerana penggunaan ini telah mengancam pekerja-pekerja ladang yang juga terdiri daripada kaum wanita.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Paraquat masih digunakan secara campuran di perladangan sawit kerana ia merupakan salah satu bahan aktif untuk mengurangkan voluntary oil palm seedlings berbanding bahan-bahan aktif lain di pasaran. Ini berikutan kos penggunaan sehektar paraquat adalah lebih murah berbanding racun-racun rumpai lain.
Berdasarkan penyelidikan bersama di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Koko Malaysia, didapati bahawa penggunaan paraquat tidak memudaratkan penyembur sekiranya ia berpakaian lengkap sepenuhnya (Personal Protection Equipment - PPE). Ujian ke atas sampel air kencing dan darah penyembur yang berpakaian lengkap didapati negatif paraquat. Sehubungan itu, penggunaan paraquat oleh pekerja-pekerja ladang perlu diawasi dan langkah-langkah keselamatan penggunaannya perlu dipatuhi.