Kenyataan Media Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pada 24 Julai 2009 di Jakarta, Indonesia.
PRASARANA Gagal Anjur Dialog Dengan Wakil Rakyat Tapi Terima Undangan MCA
Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) telah berhasrat untuk mengadakan sessi dialog dan taklimat bersama penduduk Subang Jaya dijadualkan pada 25 Julai 2009 di Komplek 2K, Subang Jaya.
Sungguhpun pihak saya telah mengemukakan soalan penjelasan daripada Kementerian Pengangkutan melalui soalan lisan di Dewan Rakyat semasa sidang mesyuarat pertama penggal kedua Jun lalu, namun jawapan Menteri tidak memuaskan.
Soalannya:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan alasan mengapakah tidak ada sebarang rundingan dengan pihak awam diadakan berkaitan dengan projek penaiktarafan lebuh raya dan LRT di Kelana Jaya. Sekiranya ada, nyatakan tarikh dan tempat ianya diadakan.
Prasarana pernah menghantar surat kepada pejabat saya awal tahun ini memohon untuk adakan perbincangan dan taklimat, namun selepas saya memanjangkan jemputan tersebut kepada seluruh wakil penduduk di Subang Jaya, perjumpaan tersebut dibatalkan.
Apa yang menjadi kekecewaan pihak saya ialah akhirnya Prasaran bersetuju mengadakan sessi taklimat dan dialog tetapi dibawah anjuran MCA Kelana Jaya di Kompleks 3K, Jalan Kewajipan, Subang Jaya. Dialog tersebut akan dihadiri oleh Pengarah Urusan Prasarana, Dato’ Idrose Mohamed dan pemimpin MCA tempatan.
Malah Dato’ Seri Ong Tee Keat dikhabarkan juga akan hadir di sessi tersebut bukan di bawah kapasiti Menteri Pengangkutan tetapi Ahli Parlimen Pandan. Saya sendiri selaku wakil rakyat Ahli Parlimen Kelana Jaya tidak dijemput di sessi yang ditunggu-tunggu ini.
Persoalannya, mengapakah Prasarana enggan bekerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih tetapi bersekongkol dengan parti politik yang jelas tidak mendapat sokongan rakyat di Pilihan Raya Umum Mac 2008 yang lalu.
Masalah pengangkutan menjadi salah satu masalah utama yang dihadapi oleh penduduk Subang Jaya. Sebagai wakil mereka, saya telah banyak mempersoalkan perkara ini di Parlimen. Antara soalan semasa sidan mesyuarat pertama sessi kedua Jun-Julai 2009:
Soalan Parlimen 18 Jun 2009:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan alasan mengapa Prasarana, Menteri Kewangan dan EPU masih belum mengumumkan hasil kajian pembinaan LRT Subang Jaya bernilai RM5 bilion.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan projek Sambungan LRT Aliran Kelana Jaya telah dirancang untuk melalui kawasan Subang Jaya. Kajian terperinci bagi projek tersebut sedang diusahakan oleh perunding rekabentuk terperinci yang telah dilantik oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad yang diantara lain termasuk aspek teknikal dan laluan, keperluan tanah, lokasi stesen dan unjuran penumpang.
Makluman mengenai Projek PRT tersebut akan diumum kepada orang awam setelah kajian terperinci tersebut siap. Menurut Akta Keretapi 1991, orang awam akan diberi peluang untuk memberi pandangan terhadap laluan ini untuk tempoh selama tiga (3) bulan dari tarikh notis pengumuman yang dijangka sebelum hujung tahun ini.
Soalan Parlimen 22 Jun 2009:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan alasan mengapa projek Link Subang-Kelana ditangguh tujuh bulan dan laluan Kewajipan tidak dirobohkan sungguhpun laluan baru sudah siap dibina.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Membina Jalan Penyambungan Subang-Kelana Jaya ditangguh tujuh bulan disebabkan injunksi daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bertarikh 22 Februari 2008 yang tidak membenarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan mana-mana ejennya melaksanakan kerja-kerja perobohan laluan pejalan kaki dan papan-papan tanda iklan di sekitar tapak pembinaan itu. Perintah ini melibatkan kerja-kerja tertangguh di bahagian Bangunan Kompleks 3K.
Walaubagaimanapun, pada 6 Februari 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memberi kebenaran untuk perobohan struktur jejantas pejalan kaki dan papan-papan tanda iklan berkenaan. Kerja-kerja perobohan jejantas dan papan tanda tersebut selesai dalam tempoh seminggu dari keputusan mahkamah, Sehubungan dengan itu, kerja-kerja pembinaan telah disambung semula dan projek ini dijadualkan suap pada 1 Julai 2009.
Maklumat: Prasarana ialah syarikat yang dimiliki penuh oleh kerajaan Pusat di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan untuk menguruskan asset syarikat-syarikat pengangkutan awam. Tujuan utama penubuhannya ialah untuk emngatasi masalah system pengangkutan awam di Lembah Kelang.
Prasarana memiliki asset kepada Ampang Line (AMP) dan Kelana Jaya Line (KLJ). Ampang Line menyambungkan stesyen Sentul Timur ke Ampang dan Sri Petaling yang dahulunya dikenali sebagai STAR-LRT manakala Kelana Jaya Line menyambungkan stesyen Kelana Jaya ke Gombak yang dahulunya dikenali sebagai PUTRA-LRT.