Dec
10
Filed Under (Parliament) by Administrator on 25-04-2007

Ucapan YB Gwo-Burne Loh, Ahli Parlimen Kelana Jaya pada 10 Disember 2009 di Dewan Rakyat.

Tuan Yang Dipertua,
Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya berucap. Saya ingin menyentuh dan membahaskan Butiran 060800, 060200 dan Butiran 25000 , Butiran 31000.
Tuan Yang Dipertua,
Maklumat dan media menjadi tulang belakang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Kementerian ini penting dalam mengawal berita-berita yang menular di seluruh Negara lebih-lebih lagi dengan kemudahan internet di abad ini.

Namun, dengan mengawal keadaan tersebut, di dalam Negara demokrasi berparlimen ini, kita sepatutnya mempunyai sebuah rang undang-undang yang memberi kebebasan di dalam mendapat maklumat.
Semua dari kita; tidak kira penduduk, anggota cabinet, ahli parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri, kakitangan awam, pertubuhan bukan kerajaan memerlukan maklumat yang sahih dalam membuat keputusan mereka.

Justeru, kita semua memerlukan sebuah kerajaan yang terbuka dan membenarkan  pendedahan maksima yakni akses kepada maklumat am sebagai satu hak, bukan keistimewaan.

Badan yang memberi maklumat mestilah sebuah badan yang mandiri, dan berkecuali. Bagi memastikan maklumat itu boleh dipercayai, penerbitannya mestilah dibenarkan secara berkala. Ianya seperti “kita mahu tahu bila kita mahu tahu, bukan hanya bila kerajaan mahu memberitahu”.
Dalam keadaan biasa, kebebasan tersebut mestilah berada di dalam kos yang rendah dan proses mudah.

Tuan Yang Dipertua,
Negara pertama yang mempunyai undang-undang kebebasan maklumat atau FOI sebegini ialah Sweden, iaitu sejak 1786. Ia adalah sebahagian daripada undang-undang media yang membolehkan semua orang mendapat maklumat daripada badan am. Ia adalah antara model yang berjaya di mana rakyat mempunyai rasa percaya terhadap kerajaan kerana melihat kerajaan sebagai telus dan bertanggungjawab.
Setakat ini, 80 buah negara mempunyai undang-undang FOI, yang terbaru di rantau ini ialah Indonesia dan Bangladesh.
Terdapat pelbagai model implementasi yang berbeza, dan antara contoh negara yang mempunyai rekod yang baik ialah Mexico dan India.

Tuan Yang Dipertua,
Izinkan saya menyatakan manfaat yang kita akan perolehi sekiranya kita mempunyai sebuan undang-undang seperti FOI ini.
Pertamanya, sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat, mereka dapat menikmati hak asasi mereka. Kedua, kerajaan akan diperlihatkan sebagai memastikan pentadbiran yang terbuka, telus dan efisyen. Ia juga dapat meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap pentadbiran kerajaan
Dalam sebuah Negara yang dalam proses memperbaiki daki rasuah, undang-undang ini dapat mengurangkan peluang untuk rasuah dan salah guna kuasa. Proses membuat keputusan juga suatu yang lebih adil dan saksama.
Di dalam isu jalur lebar, saya amat khuatir dengan pencapaian jalur lebar di Malaysia berbanding dengan Negara-negara lain. Kita juga berada jauh ke belakang sekiranya berbanding dengan Negara-negara jiran. Universiti Oxford yang menjalankan kajian mendapati Malaysia berada di tangga 48 daripada 66 negara Kualiti Jalur Lebar Internet.

Negara-negara seperti Japan, Hong Kong, South Korea, Sweden, Singapura dan Finland sudah pun mempunyai perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 100 Mbps tetapi kita masih berada di tahap curut. Bahkan, Singapura sedang dalam proses untuk mempertingkatkan perkhidmatan mereka kepada 1GBps.

Banyak lesen telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi menggalakkan penggunaan jalur lebar di Negara ini. Tetapi, adakah kita maklum bahawa mereka ini mengalami banyak kekangan? Di antaranya ialah spektrum 2.5-gigahertz telah dibekukan oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi?
Penduduk di kawasan bandar termasuk Subang Jaya dijanjikan dengan kelajuan jalur lebar 10Mbps pada 2012. Namun, projek Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) hanya melibatkan Telekom Malaysia sebagai pengeluar tunggal.
Izinkan saya membaca keratan akhbar dari NST bertarikh 11 Mei 2009 yang menyebut bahawa Victor Siow, penganalisa dari Frost & Sullivan mengatakan; ”Siow highlights that most operators rely on TM’s core network to offer their services and it has been reported that TM’s wholesale pricing is more costly than retail pricing.”
Adakah YB Menteri sedar bahawa kita sekarang membayar kemudahan jalur lebar pada harga yang mahal yang tidak setimpal? Bagi bandwidth (dengan izin) 100 megabit se saat,  Singapura hanya membayar US$85 (RM286.56). Di Malaysia, kita membayar US$76 untuk bandwidth 3 mbps.

Perdana Menteri mengakui bahawa setiap pertambahan 10 peratus penetrasi jalur lebar, kita akan mengalami pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus.

Saya juga ingin meminta penjelasan dari YB Menteri sama ada pengumuman Perdana Menteri mengenai matlamat pertambahan 6% KDNK (atau GDP) pada tahun 2020 berasaskan daripada penetrasi 50% pengguna jalur lebar.

Mungkin kita sukar untuk mencapai penetrasi internet 95%  kerana masih banyak kawasan terutama di Malaysia Timur masih tidak mempunyai kemudahan elektrik. Saya rasa mungkin rakyat sukar untuk memperolehi internet sekiranya kemudahan elektrik tidak stabil.

Kita mempunyai matlamat untuk mencapai 80 peratus populasi jalur lebar. Bagaimanakah matlamat ini dapat dicapai sekiranya kekangan yang diberikan kerajaan dan kuasa monopoli kepada Telekom? Ia juga akan tidak menggalakkan potensi-potensi pelabur untuk mengambil bahagian dan melabur dalam industri ini.

Apakah usaha kerajaan dalam meningkatkan prestasi ini memandangkan jalur lebar menjadi perkara asas dalam akses kita kepada internet.

Sekian, terima kasih.



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: