Jawapan Bagi Soalan Lisan Ahli Parlimen Kelana Jaya pada 29 Mac 2010.
SOALAN:
YB TUAN GWO-BURNE LOH meminta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan tarikh susulan mengenai Penilaian Penggalan Sejagat (the Universal Periodic Review) di bawah PBB yang mana penilaian peringkat pertama diadakan pada 11 Februari yang lalu.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kelana Jaya di atas soalan yang dikemukakan.
Seperti Dewan yang mulia ini sedia maklum, Malaysia telah melalui proses semakan laporan negara di bawah Universal Peridic Review (UPR) dengan izin, di mesyuarat Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia megennai UPR pada 11 Februari 2009. Selanjutnya, HRC di Mesyuarat Sesi Kesebelasnya pada 12 Jun 2009 telah menerima hasil semakan laporan negara Malaysia oleh Kumpulan Kerja berkenaan yang mengandungi antara lainnya pandangan dan penjelasan Malaysia ke atas saranan-saranan yang dikemukakan oleh negara-negara anggota Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Untuk makluman, pusingan pertama proses UPR ini masih belum berakhir. Sehingga kini, terdapat 80 buah negara anggota PBB yang masih belum membentangkan laporan mereka untuk semakan di bawah proses UPR.
Proses semakan laporan negara Malaysia di bawah UPR seterusnya akan diadakan pada tahun 2013, iaitu empat tahun selepas semakan peringkat pertama. Tarikh tepat tidak dapat dinyatakan buat masa kini kerana ia bergantung pada program kerja HRC pada tahun tersebut. Selain itu, cabutan undi akan diadakan untuk menentukan jadual kesemua negara anggota PBB untuk membentangklan laporan mereka kepada HR.
Sekian, terima kasih.