JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 15 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan di mana Pegawai Polis yang bertugas berada ketika mangsa P.Babu dikatakan membunuh diri dengan menggunakan baju lokap yang dipakai oleh mangsa pada 1 Februari 2009.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan soalan.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, kes yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat itu berlaku pada 1 Februari 2010 dan bukannya 1 Februari 2009. Hasil siasatan polis mendapati P.Babu telah ditemui mati di dalam lokap Balai Polis Bahau, Negeri Sembilan akibat menggantung diri menggunakan baju lokap yang dipakainya. Semasa kejadian, terdapat dua (2) orang anggota polis sedang bertugas di dalam lokap tersebut di mana seorang sedang berdiri di ruang sentri lokap dan seorang lagi sedang duduk melihat kamera litar tertutup (CCTV).
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 14 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan adakah beliau berhak mengarahkan kain rentang ucapan Thaipusam oleh Kerajaan Negeri Selangor diturunkan pada 29 Januari 2009.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemasangan kain rentang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Undang-undang Kecil Iklan (UUK). UUK ini menetapkan tatacara proses permohonan lesen iklan, syarat-syarat yang perlui dipatuhi serta tindakan yang boleh diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas pihak yang melanggar syarat. PBT boleh memohon kepada Mahkamah satu perintah untuk menurunkan terus mana-mana iklan yang dipamerkan tanpa lesen atau melanggar mana-mana UUK ini. UUK ini turut menetapkan tatacara proses permohonan lesen iklan, syarat-syarat yang perlu dipatuhi serta tindakan yang boleh diambil oleh PBT ke atas pihak yang melanggar syarat.
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 13 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PELANCONGAN menyatakan sebab gondola Eye On Malaysia yang diletakkan di Melaka sebagai tarikan pelancong disita.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Gondoola Eye On Malaysia yang diletakkan di Melaka telah diberhentikan operasinya buat masa kini berdasarkan perintah mahkamah. Ini adalah bagi menyelesaikan pertikaian di antara syarikat pemilik asal Eye On Malaysia dan syarikat Fitraco NV dari Belgium.
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 12 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan apakah bentuk demokrasi yang kita miliki apabila kita tidak membenarkan rakyat memilih wakil di peringkat Kerajaan tempatan.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pilihan raya Kerajaan Tempatan hendaklah dihentikan. Undang-undang Kerajaan Tempatan di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai peruntukan tentang pilihanraya Kerajaan Tempatan.
Akta 171 Seksyen 10 memperuntukkan bahawa sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengandungi Datuk Bandar atau Yang Dipertua serta tidak kurang daripada lapan (8) dan tidak lebih daripada 24 orang Ahli Majlis yang dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas mengenai PBT yang mereka dialami atau mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan semula pilihanraya Kerajaan Temaptan kerana tiada undang-undang yang membolehkan ianya diadakan kecuali undang-undang tersebut dipinda.
Pilihanraya Kerajaan Tempatan boleh menjejaskan tumpuan PBT selaku agensi barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana tumpuannya akan lebih menjurus kepada hal-hal yang berkaitan dengan urusan pilihanraya. Urusan pilihanraya bukan sahaja melibatkan masa dan kos malah tenaga kerja di samping kemungkinan wujudnya unsur-unsur kurang sihat oleh pihak-pihak tertentu yang berteraskan kepentingan politik masing-masing.
Pilihanraya Kerajaan Tempatan bukanlah faktor yang menentukan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT. Kecekapan PBT adalah berdasarkan gabungan pelbagai faktor seperti kepimpinan yang dinamik, tenaga kerja yang mahir dan terlatih, proses dan prosedur kerja yang cepat dan mudah, perancangan bandar yang mapan, keseragaman undang-undang dan peraturan, pengurusan sumber hasil dan kewangan yang cekap, pelaksanaan projek pembangunan yang berkesan dan sebagainya.
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 8 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan sama ada buku biografi “Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism” yang dirampas sudah dipulangkan kepada penerbit.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Buku ini tidak dipulangkan dan Kementerian tidak bercadang memulangkannya kepada penerbit kerana buku ini sebenarnya dibeli bukannya diambil untuk kajian atau dirampas.
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 7 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan alasan mengarahkan pengawal ASWARA mengunci Panggung Eksperimen tanpa notis pada 5 Februari 2010 ketika pementasan teater TANDA sedang berlangsung sungguhpun kebenaran sudahpun diberi.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Rektor ASWARA tidak mengeluarkan arahan mengunci Panggung Eksperimen pada 5 Februari 2010 (Jumaat). Sebaliknya, beliau telah membatalkan pementasan teater TANDA yang akan dipentaskan pada jam 8:30 malam tersebut kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pihak ASWARA telah mendapati adegan kurang sopan dan tidak sesuai dipentaskan di khalayak terutama produksi teater TANDA dinasihatkan untuk membuat permohonan baru.
Keputusan membatalkan pementasan teater TANDA adalah atas alasan berikut:-
(i) Terdapat adegan kurang sopan dan tidak sesuai dipentaskan di khalayak terutama Panggung Eksperimen ASWARA merupakan sebuah kemudahan di premis institusi pengajian tinggi kerajaan.
(ii) Produksi teater TANDA tiada mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasan Tempatan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk mengadakan pementasan teater mahupun kelulusan pementasan yang mengenakan bayaran masuk atau bertikKet.
(iii) Terdapat unsur-unsur penipuan oleh pihak produksi teater dimana mereka menggunakan kepala surat rasmi PERSATUAN ALUMNI ASWARA tanpa kebenaran mahupun pengetahuan Persatuan.