Apr
12
Filed Under (Parliament) by Administrator on 25-04-2007

JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 12 APRIL 2010

SOALAN:

Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan apakah bentuk demokrasi yang kita miliki apabila kita tidak membenarkan rakyat memilih wakil di peringkat Kerajaan tempatan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pilihan raya Kerajaan Tempatan hendaklah dihentikan. Undang-undang Kerajaan Tempatan di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai peruntukan tentang pilihanraya Kerajaan Tempatan.

Akta 171 Seksyen 10 memperuntukkan bahawa sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengandungi Datuk Bandar atau Yang Dipertua serta tidak kurang daripada lapan (8) dan tidak lebih daripada 24 orang Ahli Majlis yang dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai pengalaman luas mengenai PBT yang mereka dialami atau mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan semula pilihanraya Kerajaan Temaptan kerana tiada undang-undang yang membolehkan ianya diadakan kecuali undang-undang tersebut dipinda.

Pilihanraya Kerajaan Tempatan boleh menjejaskan tumpuan PBT selaku agensi barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana tumpuannya akan lebih menjurus kepada hal-hal yang berkaitan dengan urusan pilihanraya. Urusan pilihanraya bukan sahaja melibatkan masa dan kos malah tenaga kerja di samping kemungkinan wujudnya unsur-unsur kurang sihat oleh pihak-pihak tertentu yang berteraskan kepentingan politik masing-masing.

Pilihanraya Kerajaan Tempatan bukanlah faktor yang menentukan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT. Kecekapan PBT adalah berdasarkan gabungan pelbagai faktor seperti kepimpinan yang dinamik, tenaga kerja yang mahir dan terlatih, proses dan prosedur kerja yang cepat dan mudah, perancangan bandar yang mapan, keseragaman undang-undang dan peraturan, pengurusan sumber hasil dan kewangan yang cekap, pelaksanaan projek pembangunan yang berkesan dan sebagainya.



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: