JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT YB GWO-BURNE LOH PADA 15 APRIL 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan di mana Pegawai Polis yang bertugas berada ketika mangsa P.Babu dikatakan membunuh diri dengan menggunakan baju lokap yang dipakai oleh mangsa pada 1 Februari 2009.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan soalan.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, kes yang dimaksudkan oleh Ahli Yang Berhormat itu berlaku pada 1 Februari 2010 dan bukannya 1 Februari 2009. Hasil siasatan polis mendapati P.Babu telah ditemui mati di dalam lokap Balai Polis Bahau, Negeri Sembilan akibat menggantung diri menggunakan baju lokap yang dipakainya. Semasa kejadian, terdapat dua (2) orang anggota polis sedang bertugas di dalam lokap tersebut di mana seorang sedang berdiri di ruang sentri lokap dan seorang lagi sedang duduk melihat kamera litar tertutup (CCTV).