Jun
15
Filed Under (Parliament) by Administrator on 25-04-2007

JAWAPAN DEWAN RAKYAT AHLI PARLIMEN KELANA JAYA, GWO-BURNE LOH PADA 15 JUN 2010

SOALAN:

TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan bilakah undang-undang atau peraturan dengan Komuniti Pagar dan Pengawal kawasan kediaman akan dikuatkuasakan.

JAWAPAN:

Unutk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia telah menggubal satu panduan khusus bagi merancang, mengawal atau memantau pembangunan skim-skim komuniti berpagar dan berpengawal. Garis panduan ini kini sedang dalam proses pertimbangan oleh Jemaah Menteri untuk dikuatkuasakan.

Garis panduan ini telah menggariskan secara terperinci aspek-aspek perancangan dan pengawalan bagi kedua-dua konsep skim pembangunan iaitu ‘gated community scheme’ (GACOS) yang dibangunkan selaras dengan peruntukan Akta Hakmilik Strata 1985 (Pindaan 2006) dan ‘guarded neighbourhood’ yang pada asasnya merupakan pemilikan individu (individual landed title) yang pembentukannya tidak tertakluk kepada Akta Hakmilik Strata 1985.

Sebaik mendapat pertimbangan Jemaah Menteri, garis panduan ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) dan seterusnya akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri untuk diterimapakai dan dikuatkuasakan di setiap negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, peruntukan yang membenarkan pembangunan komuniti berpagar atau gated community adalah di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 (pindaan 2007) sementara pembinaan sesebuah komuniti berpagar hendaklah selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Pindaan Akta Hakmilik Strata 1985 yang berkuatkuasa pada 12 April 2007 telah menambah satu peruntukan khusus bagi membenarkan penubuhan komuniti berpagar. Dengan adanya peruntukan ini, Jawatankuasa Penduduk atau Perbadanan Pengurusan adalah sah dari aspek perundangan untuk membina pagar dan palang jalan bagi kawasan skim berkenaan. Ini kerana perkara-perkara seperti jalan dan kawasan lapang adalah menjadi harta bersama di bawah pentadbiran perbadanan pengurusan bagi sesuatu skim komuniti berpagar.

Sehubungan dengan itu, KPKT buat masa ini tidak berhasrat untuk meminda undang-undang berkaitan bagi membangunkan komuniti berpagar memandangkan undang-undang lain sedia ada didapati memadai.



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: