JAWAPAN LISAN TUAN GWO-BURNE LOH DI DEWAN RAKYAT PADA 13 OKTOBER 2010
SOALAN:
TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta PERDANA MENTERI menyatakan keperluan untuk meminda Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agar calon-calon dan parti-parti politik semasa pilihan raya agar boleh mencabar di mahkamah selain petisyen.
JAWAPAN:
YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI AZIZ
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Undang-undang Pilihan Raya yang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan seumpamanya, sudah mencukupi untuk menjamin sistem pilihan raya yang telus dan adil.
Umpamanya, Perkara 118 yang telah wujud semenjak Perlembagaan Persekutuan digubal, membenarkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR untuk mengemukakan petisyen pilihan raya kepada mana-ana Mahkamah Tinggi dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan. Bagaiamanapun, apabila sesuatu petisyen dikemukakan dan diterima di mahkamah, menjadi hak mahkamah untuk menentukan status kes petisyen itu.
Hal yang sama jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, mereka boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat.
Seksyen 35A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pula menetapkan masa tidak lewat daripada 6 bulan dari tarikh petisyen pilihan raya itu dikemukakan untuk menyelesaikan perbicaraan. Satu tempoh masa yang cukup adil untuk semua pihak.
Ini jelas membuktikan betapa proses demokrasi berlaku dengan subur dan sihat dalam system piihan raya di Negara kita, yang mana, pemetisyen diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan dan menggunakan hak mereka yang dibenarkan oleh Undang-undang sekiranya berlaku pertikaian mengenai penjalanan pilihan raya.
Justeru, tiada sebab mengapa Kerajaan perlu meminda undang-undang yang sedia ada, sekiranya undang-undang tersebut dapat menjamin keadilan dalam system pilihan raya Negara kita.
Sekian, terima kasih.