JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT TUAN GWO-BURNE LOH PADA 29 NOVEMBER 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilangan individu yang telah dijatuhkan hukuman dan sedang menanti hukuman mati.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat dari Kelana Jaya yang mengemukakan pertanyaan.
Dimaklumkan untuk tahun 2010 iaitu sehingga 30 September 2010 hanya satu hukuman gantung sampai mati telah dilaksanakan terhadap seorang banduan yang didapati bersalah kerana kesalahan membunuh.
Statistik Jabatan Penjara Malaysia yang berakhir pada 30 September 2010 menunjukkan terdapat seramai 583 banduan yang telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati. Hukuman mati tersebut belum dilaksanakan terhadap mereka kerana sedang menungggu proses rayuan sama ada di Mahkamah atau kepada Jemaah Pengampunan Negeri.
JAWAPAN LISAN TUAN GWO-BURNE LOH DI DEWAN RAKYAT PADA 3 NOVEMBER 2010
SOALAN:
TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistic jumlah polis yang ditembak mati oleh penjenayah dari 2001 hingga 2010 dan dalam situasi bagaimana mereka ditembak mati.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan pertanyaan.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, seramai 90 orang anggota polis telah terbunuh dan 343 orang cedera semasa bertugas sejak tahun 2000 hingga 2010.
Antara punca-punca kematian yang melibatkan anggota polis adalah seperti berikut:-
i) Ditembak oleh penjenayah;
ii) Dilanggar semasa mengadakan sekatan jalanraya;
iii) Diserang dengan menggunakan senjata/objek semasa menyuraikan perhimpunan;
iv) Ditikam oleh penjenayah semasa pergelutan;
v) Ditetak dengan senjata tajam semasa cuna menenangkan orang yang tidak siuman; dan
vi) Kemalangan jalanraya semasa tugas mengiringi orang kenamaan, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), Orang Kena Tahan(OKT) dan mengejar penjenayah.
JAWAPAN LISAN TUAN GWO-BURNE LOH DI DEWAN RAKYAT PADA 2 NOVEMBER 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan purata dan status balai polis di seluruh Negara yang memasangkan CCTV dalam bilik soal siasat, lokap dan persekitaran balai polis.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan pertanyaan di atas keperihatinan beliau mengenai tahap keselamatan di balai-balai polis di seluruh Negara.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, pada masa ini Kerajaan telah mengambil langkah untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di balai-balai polis. Pemasangan CCTV ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan terutamanya di lokap-lokap dan di persekitaran balai.
Tuan Yang Dipertua,
Selain itu, CCTV juga dipasang di bilik-bilik soal siasat yang mana ia bertujuan untuk memantau proses soal siasat yang dijalankan oleh pihak polis bagi memastikan proses soal siasat itu dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di samping mengesan sekiranya ada salah laku anggota-anggota polis semasa menjalankan soal siasat ke atas suspek.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setakat ini kerajaan telah pun menasang CCTV di 227 lokap dan 36 bilik soal siasat di balai-balai polis di seluruh Negara. Manakala sebuah balai polis mempunyai CCTV yang dipasang di persekitarannya.
Tuan Yang Dipertua,
Pada masa ini Kerajaan sedang merancang untuk memasang CCTV di kesemua 827 balai polis di seluruh Negara bagi memastikan tahap keselamatan dib alai-balai berada pada tahap terbaik dan terkawal.