JAWAPAN BERTULIS PARLIMEN TUAN GWO-BURNE LOH DI DEWAN RAKYAT PADA 15 DISEMBER 2010
SOALAN:
TUAN GWO-BURNE LOH[KELANA JAYA] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan institusi yang dibuka khusus untuk pelajar Bumiputera sahaja, dan poulasi pelajar di institusi-institusi ini berdasarkan kepada pendidikan peringkat rendah, menengah dan tinggi sejak 1969 serta apakah pecahannya berdasarkan kepada kawasan bandar / Luar Bandar, Malaysia Timur / Barat.
JAWAPAN:
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Tidak terdapat Institusi Pendidikan di negar aini yang khusus hanya untuk bumiputera. Walaupun Matrikulasi diwujudkan untuk bumiputera, tetapi semenjak 2003, kolej matrikulasi bukan lagi eksklusif untuk pelajar bumiputera sahaja. Kuota sebanyak 10% telah diperuntukkan kepada pelajar bukan bumiputera. Bagi sekolah agama pula, pelajar Islam termasuk berketurunan Cina dan India atau lain-lain bangsalayak mengikuti pengajian di sekollah tersebut.
JAWAPAN BERTULIS PARLIMEN TUAN GWO-BURNE LOH PADA DISEMBER 2010
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya - PKR] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan sasaran ingat di Sukan Asia di Guangzhou 2010 tahun ini memandangkan majoriti pingat yang kita menangi bukan sukan yang terdapat dalam Sukan Olimpik. Apakah usaha yang dijalankan ke arah mencapai sasaran tersebut.
JAWAPAN
1. Untuk makluman Yang Berhormat, kontinjen negara yang menyertai temasya Sukan Asia Guangzhou 2010 pada 12 hingga 27 November 2010 lalu telah berjaya mencapai sasaran 9 pingat emas melalui sukan Berbasikal, Skuasy, Boling, Karate dan Wushi.
2. Kejayaan ini merupakan hasil pelaksanaan Program Cabaran 2010 yang dimulakan pada tahun 2007 iaitu suatu program latihan jangka panjang dan bersepadu berdasarkan kepada Pelan Periodisasi Latihan yang merangkumi latihan dan pertandingan di dalam dan luar negara.
3. Program tersebut juga sentiasa menilai dari masa ke semasa prestasi atlet-atlet yang disasarkan untuk memenangi pingat khususnya di Sukan Asia Guangzhou 2010 sama ada ianya adalah sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik ataupun hanya dipertandingkan di peringkat Sukan Asia.
JAWAPAN LISAN PARLIMEN TUAN GWO-BURNE LOH DI DEWAN RAKYAT PADA DISEMBER 2010
SOALAN:
Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan pernahkah kerajaan menerima penawaran dari Pakistan untuk membeli pesawat JF-17 adakah Kerajaan dijemput bersama-sama dalam pembelian, pembangunan dan pemasaran pesawat JF-17.
JAWAPAN:
Setakat in Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) belum pernah mendapat apa-apa tawaran daripada Pakistan untuk membeli jet pejuang JF-17. Pesawat berkenaan merupakan pesawat pejuang yang berada di dalam kategori light weight MRCA dan tidak menepati ciri-ciri yang TUDM perlukan.
JAWAPAN LISAN DEWAN RAKYAT TUAN GWO-BURNE LOH PADA 2 DISEMBER 2010
SOALAN:
TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta MENTEERI DALAM NEGERI menyatakan prosedur dan dasar terperinci polis mensyaki, menahan, memeriksa dan menangkap suspek berjalan kaki, motosikal dan kereta dengan kekerasan dan tanpa kekerasan.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan pertanyaan.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, bagi prosedur menjalankan tangkapan, pematuhan proses tangkapan adalah sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 15 Kanun Tatacara Jenayah iaitu:-
i) Apabila pegawai polis atau orang lain hendak menangkap orang, ia hendaklah menyentuh atau mengurung jika ia menyerahkan dirinya melalui percakapan ataupun tingkah lakunya.
ii) Jika orang yang hendak ditangkap itu melawan dengan kekerasan atau cuba lari daripada tangkapan itu, maka pegawai itu atau lain itu boleh menggunakan sebarang langkah yang perlu untuk melaksanakan tangkapan itu.
iii) Seksyen ini tidak sekali-kali memberi hak untuk menyebabkan kematian pada seseorang yang tidak dituduh berkenaan dengan kesaahan yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
Tuan Yang Di Pertua,
Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana orang yang terlibat dalam sebarang kesalahan yang dilakukan di mana-mana juga dalam Malaysia yang mana ia adalah kesalahan boleh ditangkap di bawah sebarang undang-undang yang berkuatkuasa dalam bahagian Malaysia itu dalam mana ia telah dilakukan atau terhadap sesuatu aduan yang munasabah yang dibuat, atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau wujudnya syak yang munasabah di mana orang itu telah terlibat.