JAWAPAN LISAN AHLI PARLIMEN KELANA JAYA PADA 10 MAC 2011.
TUAN GWO-BURNE LOH [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan kaedah gantung diri 10 banduan di dalam penjara sepanjang tempoh 2005 hingga Julai 2010 seperti yang dinyatakan di Parlimen melalui jawapan pada 18 Oktober 2010.
JAWAPAN:
Tuan Yang Dipertua,
Terima kasih diucapkan kepada Ahli Yang Berhormat Kelana Jaya yang mengemukakan pertanyaan.
Untuk makluman Yang Berhormat dan dewan yang mulia ini, ingin saya jelaskan bahawa statistik 10 banduan seperti yang dinyatakan di dalam jawapan pada 18 Oktober 2010 adalah merujuk kepada jumlah tahanan dalam lokap polis dan bukannya banduan di penjara.
Walau bagaimanapun, berasaskan kepada siasatan yang dijalankan, didapati banduan yang menggantung diri di dalam lokap polis telah menggunakan pakaian yang dibekalkan untuk dijadikan alat bagi menggantung diri. Pakaian tersebut terdiri daripada seluar, manakala peralatan lain terdiri daripada kain selimut, tuala dan sarung tilan yang dibekalkan untuk kegunaan harian mereka. Pakaian tersebut akan dikoyakkan dan diikat pada jerejak sel untuk menggantung diri.
Tuan Yang Dipertua,
Bagi mencegah masalah menggantung diri di kalangan tahanan, pihak polis telah menyediakan prosedur pencegahan, kawalah, rawatan dan pemantauan terhada banduan yang mengalami masalah kemurungan, tekanan dan mental.
Di samping itu, pihak polis dari masa ke semasa mengkaji kesesuaian bahan serta jenis pakaian dan peralatan yang dibekalkan untuk kemudahan tahanan agar ianya tidak disalahgunakan untuk menggantung diri atau apa-apa tindakan lain yang didapati boleh menjejaskan keselamatan diri tahanan berkenaan, tahanan lain serta anggota polis yang bertugas.