JAWAPAN LISAN PARLIMEN 22 JUN 2011
SOALAN: YB GWO-BURNE LOH [Kelana Jaya] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan usaha Kerajaan di dalam membebaskan Chong Chun Yi (27 tahun) yang dijatuhkan hukuman mati di Singapura pada 16 Jun 2008.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Terima kasih Yang Berhormat Kelana Jaya di atas soalan yang dikemukakan.
Tuan Yang di-Pertua,
2. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip menghormati kedaulatan sesebuah negara dan undang-undang antarabangsa Malaysia juga berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara, baik dari segi politik mahupun sistem perundangan tempatan.
3. Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang berada di dalam kesusahan atau mengalami kesulitan semasa berada di luar negara.
4. Apabila seseorang rakyat Malaysia menghadapi pertuduhan jenayah di luar neara, Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk memastikan hak-hak asasi rakyat kita dilindungi, sebagai mana yang diperuntukkan di bawah undang-undang negara berkenaan dan juga undang-undang antarabangsa, seperti Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963 (Vienna Convention Consular Relations 1963).
5. Ahli keluarga Chong Chun Yin telah mengemukakan rayuan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Republik Singapura untuk merayu bagi mengurangkan hukuman mati yang telah dikenakan ke atas beliau.
6. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Republik Singapura telah pun memanjangkan rayuan keluarga tertuduh kepada Kementerian Luar Singapura. Rayuan pertama dihantar secara rasmi kepada Kerajaan Republik Singapura pada 20 Oktober 2010 dan rayuan yang kedua pada 3 Disember 2010.
7. Rayuan ketiga bagi mengurangkan hukuman ke atas Chong Chun Yin telah dihantar secara rasmi kepada Kerajaan Republik Singapura pada 26 Januari 2011. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Republik Singapura telah menerima makluman bahawa surat rayuan tersebut telah disampaikan kepada Istana Presiden pada keesokannya, 27 Januari 2011.
Tuan Yang di-Pertua,
8. Sehubungan dengan ini, saya berharap penjelasan di atas dapat mencerminkan usaha dan komitmen Kementerian ini dalam usaha membantu rakyat Malaysia di luar negara,
Sekian, terima kasih.