JAWAPAN PERTANYAAN LISAN PADA 22 JULAI 2011
SOALAN:
YB TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta Menteri Pelajaran menyatakan peratusan komposisi bangsa (Melayu, Orang Asli/Orang Asal, Cina, India, dan lain-lain) kemasukan pelajar-pelajar semua aliran di sekolah Kerajaan (jenis kebangsaan, jenis kebangsaan Cina, jenis kebangsaan Tamil, agama) sejak 1969.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jumlah enrolmen murid di sekolah kebangsaan (SK) sejak tahun 2007 hingga 2011 ialah 11,137,486 orang. Daripada jumlah ini, 93.3% adalah murid Bumiputera, 1.33% ialah murid Cina, 3.45% ialah murid India dan selebihnya adalah murid dari pelbagai kaum yang lain.
Manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), jumlah enrolmen dalam tempoh 5 tahun ini ialah 3,093,972 orang. Daripada jumlah ini, 8.44% ialah murid Bumiputera, 89.01% ialah murid Cina, 1.57% ialah murid India dan selebihnya ialah dari pelbagai kaum yang lain. Di sekolah kebangsaan jenis Tamil (SJKT) pula, jumlah enrolmen murid dalam tempoh 5 tahun ini ialah 521,434. Daripada jumlah ini, 0.29% ialah murid Bumiputera, 0.04% ialah murid Cina dan 99.6% ialah murid berbangsa India.