JAWAPAN BAGI PERTANYAAN LISAN PADA 23 JUN 2011
SOALAN:
TUAN GWO-BURNE LOH [Kelana Jaya] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan tindakan yang diambil ke atas TV3 yang didapati menayangkan iklan Hari Raya pada tahun 2010 tanpa permit FINAS.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa mengambil langkah-langkah tegas terhadap stesen-stesen TV dan radio swasta sekiranya kandungan yang disiarkan didapati bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, syarat lesen atau mana-mana peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi industri penyiaran swasta di Malaysia.
Untuk makluman, antara syarat-syarat lesen yang ditetapkan bagi kandungan siaran televisyen swasta adalah:-
1. Pihak stesen televisyen perlu memastikan semua kandungan yang pra-rakam termasuk iklan adalah ditapis dan mendapat kelulusan terdahulu dari Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ia boleh disarkan di televisyen.
2. Pihak stesen televisyen dan radio swasta juga tidak boleh menyiarkan kandungan yang menyinggung sensitiviti agama, bangsa dan budaya mana-mana masyarakat di Malaysia.
3. Pihak stesen televisyen dan radio swasta tidak boleh menyiarkan apa-apa jua kandungan yang bertentangan dengan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia mahupun kandungan yang tidak menyumbang kepada aspirasi nasional. Untuk tahun 2010 sehingga Mei 2011, sebanyak 1707 kes telah disiasat oleh SKMM. Ini meliputi kes berkaitan hakcipta, kewangan, phishing, kesalahan syariah, kandungan jelik dan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 233 dan 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagi portal, laman dan blog terbabit, SKMM telah mengambil tindakan kompaun, pertuduhan di mahkamah dan sekatan capaian.
Iklan Hari Raya Aidilfitri bertaju ‘Sinar Lebaran’yang disiarkan oleh stesen TV3 adalah disiarkan tanpa kelulusan terdahulu dari pihak LPF dan bukannya dari pihak FINAS. Oleh itu, perkara tersebut dengan jelas telah melanggar peruntukan syarat-syarat lesen yang ditetapkan, selain itu, kandungan iklan tersebut juga telah menyinggung sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Justeri, tindakan kompaun RM20,000 telah dikenakan terhadap stesen penyiaran tersebut, Pihak Kementerian berharap semoga perkara ini diambil iktibar oleh stesen penyiaran yang lain.