JAWAPAN PERTANYAAN LISAN AHLI PARLIMEN KELANA JAYA, GWO-BURNE LOH PADA 22 MAC 2011
SOALAN:
Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah bilangan lokap dan bilik soal siasat yang masih idak memasang CCTV dan nyatakan sebabnya secara munasabah memandangkan Kerajaan telah memberikan peruntukan yang mencukupi.
JAWAPAN:
Tuan Yang Di Pertua,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pertanyaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, pada masa ini kerajaan telah mengambil langkah untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di balai-balai polis. Pemasangan CCTV ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan terutamanya di lokap-lokap dan di persekitaran balai.
Tuan Yang Dipertua,
CCTV yang dipasang di bilik-bilik soal siasat yang mana ia bertujuan untuk memantau proses soal siasat. Melalui langkah ini juga salah laku anggota polis semasa menjalankan soal siasat ke atas suspek dapat dikesan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhomat, jumlah balai di seluruh negara adalah sebanyak 827 buah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 227 lokap balai polis telah dilengkapi pemasangan CCTV manakala 36 bilik soal siasat juga telah dilengkapi pemasangan CCTV. Pihak PDRM sememangnya bercadang untuk memasang CCTV di lokap-lokap dan bilik soal siasat di kesemua balai polis seluruh Negara. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada peruntuka belanja mengurus masing-masing Unit/Jabatan yang diluluskan.