JAWAPAN LISAN AHLI PARLIMEN KELANA JAYA PADA 6 OKTOBER 2011 DI DEWAN RAKYAT
SOALAN:
YB TUAN GWO-BURNE LOH [KELANA JAYA] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan dasar Kerajaa berkenaan pengecualian cukai dan duti eksais kereta hybrid selepas Disember 2011 serta permit , cukai jalan, cukai import dan duti eksais motosikal elektrik.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, dasar Kerajaan memberikan layanan pengecualian duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid Completely Built-Up (CBU) baru yang telah diumumkan melalui pengumuman Bajet 2009 adalah bertujuan untuk menggalakkan pembelian kereta hibrid. Pelaksanaannya telah dimulakan ke atas permohonan yang diterima oleh Kementerian Kewangan mulai 30 Ogos 2008. Asas memberi pengecualian duti import dan duti eksais adalah menandangkan kereta hibrid lebih mesra alam dan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan api fosil yang bersifat terhad. Dengan itu, Kerajaan ingin memastikan lebih ramai pembeli tertarik untuk menggunakan kereta hibrid dan sekali gus dapat meningkatkan permintaan yang ketara bagi membolehkan aktiviti pemasangan dan pengeluaran kereta hibrid dapat dijalankan di Malaysia dengan lebih cepat. Ini selaras dengan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau kerata hibrid. Kerajaan juga berkeyakinan tinggi bahawa kereta hibrid mempunyai potensi pasaran yang besar selaras dengan kesedaran menjaga alam sekitar di seluruh dunia.
2. berdasarkan kedudukan yang disebutkan tadi, Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian untuk melanjutkan pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jalan bagi kereta hibrid.