KENYATAAN MEDIA
1 NOVEMBER 2011
KENYATAAN MENTERI TERHADAP LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh memuji tindakan Ketua Audit Negara dalam mengeluarkan laporan audit yang telah membuka mata semua pihak setiap tahun.
Namun begitu, saya keliru dengan tindakan beberapa Menteri yang telah menafikan beberapa fakta dalam Laporan Audit Negara. Antaranya adalah Laporan Audit Negara bahawa projek National Feedlot Centre tidak mencapai sasaran untuk menternak 8000 ekor lembu menjelang 2010. Namun begitu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkeras mengatakan sasaran projek National Feedlot Centre untuk menternak 8000 ekor lembu adalah satu kejayaan kerana sebanyak 8016 ekor lembu telah diimport sekaligus melebihi sasaran untuk menternak 8000 ekor lembu menjelang 2010. Ini bermakna, sesiapa sahaja akan dapat mencapai sasaran ini dengan hanya mengimport lembu. Jadi saya tertanya-tanya adakah sasaran untuk mencapai 60000 ekor lembu menjelang 2015 juga akan dicapai menggunakan lembu import?
Selain daripada itu, Laporan Audit Negara juga mengatakan bahawa Kementerian Pelancongan telah terlebih membayar kontrak mempromosi sebanyak RM270 juta, selain daripada itu, laporan itu juga menyebut bahawa Kementerian Pelancongan telah melanggar garis panduan Perbendaharaan Negara. Namun begitu, kenyataan Menteri Pelancongan Dato Seri Ng Yen Yen yang mempertahankan tindakan kemeteriannya yang merupakan satu-satunya kementerian yang telah melanggar garis panduan Perbendaharaan Negara apabila menjalankan sistem rundingan terus dalam pemberian kontrak untuk mempromosikan pelancongan negara. Kenyataan beliau amat mengelirukan apabila beliau mendakwa sistem tender terbuka akan menyebabkan pihak kerajaan menanggung kos yang lebih tinggi kerana terpaksa membayar kepada orang tengah. Sedangkan pada hemat saya, sistem tender terbuka adalah satu sistem yang telah ditetapkan oleh pihak Perbendaharaan Negara dan kriteria untuk sistem tender terbuka tertakluk sepenuhnya kepada pihak kementerian masing-masing, justeru itu masalah mengenai penglibatan orang tengah boleh diatasi sekiranya pihak kementerian tersebut mengenakan syarat untuk setiap syarikat mengemukakan tawaran tender secara terus.
Berdasarkan kenyataan kedua-dua Menteri di atas, saya berasa amat keliru dan saya pasti tindakan ini juga telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan sekaligus menjatuhkan kredibiliti Ketua Audit Negara. Adakah kedua-dua Menteri tersebut cuba mengatakan yang Laporan Audit Negara adalah salah dan tidak tepat? Adakah mereka cuba mengatakan bahawa kredibiliti Ketua Audit Negara boleh dipertikaikan? Ini bermaksud, mana-mana penemuan daripada Laporan Audit Negara boleh dipertikaikan?
Oleh itu, saya amat berharap agar Menteri Kewangan dapat memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan sekaligus menjelaskan kekeliruan mengenai tahap kredibiliti Laporan Audit Negara.
Terima kasih.