KENYATAAN MEDIA
1 NOVEMBER 2011

SOKONGAN KEPADA RANCANGAN KONGRES KESATUAN SEKERJA MALAYSIA (MTUC) UNTUK BERPIKET

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh memuji tindakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang akan berpiket untuk menentang pindaan Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011. Tindakan proaktif ini amat wajar sebagai satu usaha untuk melindungi kebajikan dan hak pekerja yang merupakan objektif utama MTUC.

Namun begitu, saya amat kecewa dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S Subramaniam yang mendakwa bahawa piket yang akan dijalankan oleh MTUC adalah tidak sah kerana isu tersebut adalah isu dasar kerajaan dan bukannya isu yang berkaitan perusahaan. Saya berpendapat bahawa MTUC wajar untuk memberikan pandangan mereka terhadap apa-apa isu yang berkaitan kebajikan dan hak pekerja.

Saya amat berharap agar piket itu dapat dijalankan secara profesional dan terkawal. Selain itu, rancangan berpiket itu selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah memberikan kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan. Saya berpendapat, sesiapa juga mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka terhadap segala dasar kerajaan yang tertakluk dalam Artikel 10 (a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.

Oleh itu, saya amat berharap agar MTUC akan terus memperjuangkan hak pekerja dan pihak kerajaan untuk menghormati perkara-perkara yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Terima kasih.



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: