Mar
26
Filed Under (Parliament) by Administrator on 25-04-2007

SOALAN:

YB Tuan Gwo Burne-Loh [Kelana Jaya] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan jumlah mereka yang tidak mempunyai rumah dan tidur di kaki lima dari tahun 2006-2011. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan perkara ini terus berlaku.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di Pertua,

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) prihatin dan memandang serius akan isu golongan gelandangan terutama di bandar-bandar besar.

Berdasarkan sistem maklumat golongan gelandangan yang mula digunakan oleh JKM pada tahun 2007, terdapat seramai 7,833 orang gelandangan yang telah diselamatkan oleh JKM bagi tempoh 2007 hingga Disember 2011. Pecahannya adalah seperti berikut:

Tahun 2007 - 1,261 orang

Tahun 2008 - 1,796 orang

Tahun 2009 - 1,934 orang

Tahun 2010 - 1,434 orang

Tahun 2011 - 1,408 orang

JUMLAH - 7,833 orang

Tuan Yang Di Pertua,

JKM telah membuat kajian profil awal ke atas 1,387 orang gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur untuk mendapatkan gambaran sebenar isu serta merancang tindakan yang sesuai bagi membantu golongan gelandangan tersebut.

Daripada kajian tersebut, antara faktor seseorang itu hidup bergelandangan adalah disebabkan:

i. Ketiadaan Pekerjaan (seramai 646 orang atau 46.6%)

ii. Miskin Berpendapatan Rendah (seramai 245 atau 17.7%)

iii. Miskin, Tua, dan Sebatang Kara (seramai 145 orang atau 10.5%)

iv. Penagihan Dadah (seramai 66 orang atau 4.8%)

v. Pengabaian (seramai 61 orang atau 4.4%)

vi. Miskin dan Tua (seramai 50 orang atau 3.6%)

vii. Masalah Mental (seramai 30 orang atau 2.2%)

viii. Sakit Melarat (seramai 29 orang atau 2.1%)

ix. Tiada Tempat Tinggal (seramai 27 orang atau 1.9%)

x. Bekas Banduan (seramai 16 orang atau 1.2%)

xi. Ketidakupayaan (seramai 15 orang atau 1.1%)

xii. Lari dari Rumah (seramai 14 orang atau 1.0%)

xiii. Masalah Keluarga (seramai 8 orang atau 0.6%)

xiv. Kemurungan (seramai 7 orang atau 0.5%)

xv. Penagihan Arak (seramai 7 orang atau 0.5%)

xvi. Warga Asing Terdampar (seramai 5 orang atau 0.4%)

xvii. Penerimaan Keluarga (seramai 3 orang atau 0.2%)

Selain itu seramai 13 orang (1.0%) gelandangan tidak dapat dikenal pasti sebab-sebab mengapa mereka bergelandangan.

Rumusan daripada kajian tersebut mencadangkan keperluan untuk mewujudkan Pusat Sehenti Intervensi dalam menangani isu gelandangan ini.

Tujuan Pusat Sehenti Intervensi adalah untuk:

a. Menyediakan tempat berlindung sementara kepada gelandangan produktif yang tiada tempat tinggal;

b. Memudahkan golongan gelandangan dikesan dan dihubungi, serta mengumpul profil gelandangan bagi tujuan menawarkan pekerjaan dan merancangan program pembangunan;

c. Mengadakan intervensi awal kepada semua golongan gelandangan (penganggur, pesakit mental, penagih dadah, pengemis, kutu rayau dan lain-lain) melalui pendekatan multi-sektor;

d. Memudahkan penyelarasan dan penyaluran bantuan serta perkhidmatan kepada golongan gelandangan; dan

e. Membolehkan jalinan kerjasama antara agensi secara berpusat melalui jawatankuasa khas dalam merancangan program pemulihan dan pengintegrasian semula golongan ke dalam masyarakat.

Bagi merealisasikan hasil cadangan kajian tersebut, maka KPWKM telah menubuhkan Pusat Sehenti Intervensi yang pertama bagi membantu golongan ini dikenali dengan nama ANJUNG SINGGAH yang terletak di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur dan mula beroperasi pada 9 April 2011.

Semenjak memulakan operasi hingga 29 Februari 2012, seramai 458 orang gelandangan telah mendapat perkhidmatan di Anjung Singgah.

Selain penubuhan Anjung Singgah, golongan gelandangan yang diselamatkan susulan operasi pengemisan oleh JKM boleh ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD), manakala warga emas yang berumur 60 tahun ke atas pula diberikan perlindungan di Rumah Seri Kenangan (RSK). Langkah ini adalah bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka terjamin.

Di Kedua-dua DBD dan RSK ini, mereka akan menjalani proses pemulihan bagi tempoh tidak melebihi 3 tahun. Mereka diberikan rawatan perubatan, penjagaan kesihatan dan bimbingan kaunseling. Sebagai tambahan, mereka turut mengikuti latihan vokasional, pertanian, kraftangan, bimbingan agama, dan juga rekreasi. Bagi golongan gelandangan yang mempunyai keluarga pula, mereka akan diserahkan kepada keluarga masing-masing dan akan dipertimbangkan bantuan kebajikan yang bersesuaian sekiranya layak.



Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: